Bintang-bintang bola sepak
hasil Victoria Institution



by Andrea Hoessein, November 15, 2017


Sekolah Menengah Kebangsaan Victoria (Victoria Institution) sememangnya antara sekolah bersejarah di Malaysia yang ditubuhkan pada 1893.



Sekolah ini bukan sahaja telah menghasilkan ahli politik, usahawan berjaya malahan pemain bola sepak.

FourFourTwo kali ini memaparkan lima pemain bola sepak yang pernah dihasilkan sekolah ini.

Mokhtar Dahari

Antara beberapa pemain yang pernah dihasilkan VI, tiada nama yang lebih besar daripada lagenda bola sepak negara, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari.

Mokhtar menuntut di VI dari tahun 1966 hingga 1970 dan di sekolah inilah, bakat awalnya dalam bola sepak dibentuk.

Selepas tamat alam sekolah menengah, Mokhtar beraksi untuk skuad Piala Burnley Selangor pada 1971 sebelum terus diserapkan dalam skuad utama merah kuning pada 1972.

Dari 1972 hingga 1987, Mokhtar berjaya membantu Selangor meraih 10 kejuaraan Piala Malaysia.

Di peringkat antarabangsa, pencapaian pemain yang digelar "SuperMokh" ini ialah meraih pingat gangsa Sukan Asia Tehran 1974 selain turut memenangi pingat emas Sukan Sea 1977 dan 1979.

Larian pantas dan sepakan deras yang sering digeruni penjaga gol lawan menjadi identiti permainan Mokhtar ketika di zaman kegemilangannya.

Sehingga kini, tiada penyerang Malaysia yang mampu menandingi kehebatan Mokhtar.

Mat Zan Mat Aris

Peminat muda masa kini mungkin tidak tahu bahawa bekas pemain dan jurulatih Kuala Lumpur, Mat Zan Mat Aris juga adalah bekas pelajar VI.

Mat Zan menuntut di sekolah ini dari 1971 hingga 1976 dan VI adalah tempat di mana pemain yang berasal dari Serdang ini mengasah bakatnya.

"Waktu zaman saya dulu, pengambilan pelajar adalah berlandaskan pencapaian akademik dan bukannya sukan.

"Namun VI ketika itu tetap memberi tumpuan kepada bola sepak dan kami tetap antara pasukan sekolah terbaik di Kuala Lumpur.

"Jurulatih saya ketika itu ialah Cikgu Raja Singgam, dia banyak bantu membentuk corak permainan saya sebagai seorang pemain tengah bertahan," kata Mat Zan.

Mat Zan turut akui, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari adalah sumber inspirasi setiap pemain VI ketika zamannya.

"Ketika saya di VI, dia yang mula mencipta nama bersama Selangor, memang menjadi inspirasi utama kami apabila menyarung jersi sekolah pada waktu itu," kata Mat Zan.

Selepas tamat sekolah, Mat Zan beraksi untuk beberapa kelab sekitar Serdang dan Kuala Lumpur sebelum terpilih mewakili skuad warga kota pada 1980.

Dari 1980 hingga 1992, Mat Zan hanya beraksi untuk Kuala Lumpur sepanjang karier dan meraih tiga kejuaraan Piala Malaysia dari 1987-89.

Mat Zan turut membarisi skuad kebangsaan yang meraih emas Sukan Sea Kuala Lumpur 1989.

Selaku jurulatih, Mat Zan mempunyai pengalaman mengendalikan lapan pasukan di Liga Malaysia.

Dia turut meraih satu kejuaraan Piala Malaysia (Terengganu, 2001) satu Piala FA (Kuala Lumpur 1999), serta Liga Perdana dan Piala FAM (Melaka 2016, 2015).

Selain meraih kejuaraan selaku jurulatih, Mat Zan juga membuktikan kemampuan selaku jurulatih peringkat akar umbi apabila meraih kejuaraan Piala Presiden bersama Kuala Lumpur pada 1998.

Mat Zan juga adalah jurulatih yang berani memberi peluang awal kepada Safee Sali untuk membarisi skuad Kuala Lumpur pada 2003 selepas pemain itu digugurkan daripada skuad Piala Presiden Kuala Lumpur.

"Setiap jurulatih mempunyai pandangan berbeza, saya ketika itu yakin Safee mempunyai potensi cerah jika diberi peluang.

"Pada saya, cara larian dan rembatannya ada sedikit persamaan dengan arwah Mokhtar dan saya gembira melihat Safee berjaya beraksi sampai ke Indonesia serta membantu negara menjuarai Piala Suzuki 2010," kata Mat Zan.

Jika Mokhtar pemain lagenda produk VI, Mat Zan pula boleh dianggap jurulatih paling berjaya dihasilkan sekolah itu.

Selepas Mat Zan, VI turut menghasilkan beberapa lagi pemain Kuala Lumpur dan kebangsaan seperti Yap Wai Loon dan Shahrin Majid di era 80-an.

Azmin Azram Abdul Aziz

Bekas penjaga gol negara ini boleh dianggap sebagai penjaga gol terbaik yang pernah dihasilkan VI.

Menuntut di sekolah ini dari 1989 hingga 1993, bakat Azmin sebagai benteng akhir pasukan menyerlah di VI.

Selain pasukan sekolah, Azmin mewakili Kuala Lumpur di semua peringkat bawah umur.

"Di VI, Cikgu Samsuddin Ismail adalah jurulatih yang banyak memberi bimbingan kepada saya.

"Saya berterima kasih kepadanya, segala tunjuk ajar awal yang saya terima membolehkan saya menjadi penjaga gol utama negara pada usia yang muda," kata Azmin.

Sebaik tamat alam persekolahan pada 1993, Azmin yang baru berusia 18 tahun menjadi pilihan utama skuad Kuala Lumpur pada 1994.

Dia turut beraksi untuk skuad Olimpik dan mula bersama skuad senior kebangsaan ketika itu.

Selepas Kuala Lumpur, Azmin beraksi bersama Negeri Sembilan, Selangor, Pahang dan MPPJ Selangor serta sudah merasai kesemua kejuaraan dalam bola sepak Malaysia.

Namun, Azmin bersara ketika berusia 30 tahun pada 2006 selepas berasakan tiada sokongan yang diberikan daripada sesiapa untuk dia terus bermain.

Azmin kemudian bertindak selaku jurulatih penjaga gol di Selangor, Felda United dan Felcra FC sebelum ke FAM sebagai jurulatih penjaga gol skuad kebangsaan.

Azlan Hussin

Seperti Azmin, seorang lagi pemain yang menyinar dari usia muda di VI ialah bekas pemain pertahanan Kuala Lumpur dan Telekom Melaka, Azlan Hussin.

Azlan menuntut di VI dari 1990 hingga 1994 dan ketika di sekolah itu, dia beraksi dalam kesemua peringkat bawah umur bersama Kuala Lumpur.

"Generasi pemain saya diterima masuk ke VI berlandaskan pencapaian sukan dan akademik.

"Kesemua yang diterima masuk ke sekolah ini, mewakili skuad bawah 12 tahun Kuala Lumpur di sekolah rendah," kata Azlan.

Di era 90an, jurulatih yang melatih pasukan sekolah VI ialah Samsudin Ismail yang lebih sinonim dengan gelaran "Cikgu Sam".

"Memang Cikgu Sam banyak membantu saya, segala tunjuk ajarnya membolehkan saya menjadi seorang pemain profesional," kata Azlan.

Azlan beraksi untuk Kuala Lumpur dari 1996 hingga 97 sebelum dia diserapkan ke skuad Piala Dunia Remaja 1997 dan skuad Olimpik 2000.

Dari 2001 hingga 2003, Azlan bersama Telekom Melaka (kini dibubarkan) sebelum kembali ke Kuala Lumpur pada musim 2004-2006.

"Saya bersara ketika berusia 29 tahun pada 2006, kerana saya ketika itu sudah pun mempunyai ijazah sains sukan dari Universiti Malaya.

"Saya juga memutuskan untuk fokus dengan kerjaya sebagai seorang guru ketika itu," kata Azlan.

Azlan kini berkhidmat di VI sebagai guru pendidikan jasmani dan sains sukan serta jurulatih bola sepak sekolah lamanya itu.

"Ketika zaman saya, sebagai pemain, tidak banyak pendekatan sains sukan diterapkan.

"Kerana itu saya sebagai jurulatih dan cikgu sukan sekolah, sentiasa memberi penekanan terhadap aspek sains sukan di kelas dan juga padang," kata Azlan.

Azlan kini komited memastikan VI meneruskan tradisi mereka menghasilkan produk pemain berkualiti untuk Kuala Lumpur dan negara.

Rosle Md Derus

Seorang lagi pemain yang dihasilkan VI pada era 90-an ialah bekas pemain tengah skuad Olimpik 2000 dan skuad Piala Dunia Remaja 1997, Rosle Md Derus.

Menuntut di sekolah itu dari 1991-1995, Rosle mewakili Kuala Lumpur dalam semua peringkat bawah umur pada zaman remajanya.

Selepas menamatkan zaman persekolahan, Rosle bersama skuad Piala Dunia Remaja dan juga Olimpik 2000 dari 1994 hingga 1999.

Rosle kemudian beraksi bersama Kuala Lumpur, Perlis, KM Naza dan menamatkan karier bersama Johor (kini JDT II) pada 2008.

"Banyak kenangan di VI, ketika saya di sana, kami mendominasi saingan bola sepak Majlis Sukan Sekolah Wilayah Persekutuan untuk saingan bawah 15 dan 18 tahun.

"Di VI, Cikgu Sam (Samsudin Ismail) yang banyak memberi tunjuk ajar awal kepada saya mengenai bola sepak.

"Dia seorang guru yang berdedikasi, kerana bola sepak, dia sanggup balik lewat petang setiap hari kerana melatih kami dan saya terhutang budi kepadanya," kata Rosle.

Selepas menamatkan karier pada 2008 ketika berusia 30 tahun, Rosle menceburkan diri dengan tugas selaku jurulatih di Perlis bersama skuad bawah 14 hingga Piala Presiden negeri itu.

Kini Rosle mengendalikan Felcra FC di saingan Piala FAM.

Selepas era 90-an, VI tetap terus menghasilkan beberapa pemain yang beraksi di Liga Super dan antaranya ialah pemain Pulau Pinang, K Reuben dan pemain Felda United, Hadin Azman.





VI The V.I. Web Page


Created on March 16, 2018
Last update on March 16, 2018